Skip to main content

METODOLOGI KAJIAN



Metodologi kajian adalah merupakan salah satu bahagian yang penting dalam mengumpul data bagi menjawab dan mencapai semua objektif kajian. Kaedah yang digunakan haruslah berkesan dan bersesuaian dengan kajian yang dilaksanakan.  Terdapat tiga jenis kajian yang boleh dipilih dalam menetapkan suatu metodologi iaitu kajian kuantitatif, kajian kualitatif dan kajian gabungan. Pendekatan bahagian metodologi ini ditentukan oleh persoalan dan objektif kajian.
Berdasarkan segala persoalan dan objektif yang telah dinyatakan, kajian ini telah menggunakan pendekatan kajian kualitatif. Kajian kualitatif ini mengumpul data yang bersifat kualitatif yang diperoleh dengan cara pemerhatian, temu bual dan analisis dokumen yang berkaitan. Bahagian ini akan menerangkan metodologi kajian yang akan merangkumi reka bentuk kajian, subjek kajian, prosedur kajian, prosedur pengambilan data serta prosedur penganalisisan data.
3.1 Reka Bentuk Kajian
        Kajian yang telah dirangka oleh pengkaji ialah kajian yang bersifat kualitatif atau deskriptif yang merupakan kajian yang dibuat berdasarkan gambaran yang sedia ada.  Reka bentuk kajian yang dijalankan oleh pengkaji adalah menjurus kepada kaedah-kaedah yang digunakan bagi menjawab segala persoalan yang telah dinyatakan dalam objektif kajian. Bagi mencapai objektif ini, penyelidik berusaha membuat persediaan yang selengkapnya sebelum memulakan kajian. Penyelidik bersedia dengan pengetahuan-pengetahuan yang berkaitan dengan tajuk kajian dan seterusnya merangka gerak kerja kajian. Kajian yang dirangka akan mempunyai hala tuju yang sejajar dengan garis panduan masa yang telah ditetapkan oleh penyelidik.
3.2 Subjek Kajian
            Bahagian ini akan memberikan penekanan kepada penyelidik dalam memilih lokasi dan responden yang boleh dijadikan sebagai subjek atau sampel kajian yang sesuai bagi penyelidikan ini. Tajuk penyelidikan seperti yang telah dinyatakan adalah berkhususkan pengurusan pembelajaran pendidikan khas. Justeru, penyelidik membuat tinjaun dan pencarian sekolah di sekitar kawasan penyelidik yang mempunyai ciri-ciri yang diperlukan dalam kajian ini. Penyelidik telah memilih sekolah A sebagai lokasi kajian kerana sekolah tersebut menyediakan program pendidikan khas yang utama di kawasan penyelidik berbanding dengan sekolah-sekolah yang lain. Hal ini pasti akan meningkatkan keberkesanan dan memudahkan proses kajian.
3.3 Prosedur Kajian
            Bahagian prosedur kajian ini akan membincangkan secara ringkas keseluruhan gerak kerja atau prosedur kajian yang telah dirangka oleh penyelidik. Prosedur yang telah dirangka ini adalah berdasarkan panduan tugasan kajian yang diberikan dan mematuhi syarat-syarat pelaksanaan sesebuah kajian. Bahagian ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu sebelum penyelidik membuat pengumpulan data, semasa proses pengumpulan data dan selepas pengumpulan data kajian.
            Sebelum penyelidik membuat pengumpulan data di lokasi kajian yang telah dipilih iaitu sekolah A, penyelidik telah membuat permohonan kebenaran melakukan kajian daripada sekolah tersebut. Penyelidik menggunakan surat kebenaran kajian daripada Kementerian Pendidikan Malaysia yang perlu dipohon oleh penyelidik daripada pihak universiti. Surat ini diperlukan bagi membolehkan sekolah tersebut menerima dan bersetuju untuk dijadikan lokasi dan responden kajian. Setelah selesai, penyelidik membina soalan-soalan yang diperlukan dalam proses pengumpulan data.
            Seterusnya, setelah lokasi kajian dan respoden diperoleh, kajian diteruskan dengan proses pengumpulan data iaitu penyelidik bergerak ke sekolah A bagi mendapatkan segala maklumat yang diperlukan oleh kajian ini. Bahagian ini diterangkan dengan lebih terperinci di bahagian prosedur pengambilan data.
            Setelah selesai proses pengumpulan data, penyelidik akan meneruskan kajian dengan penganalisisan data yang telah diperoleh daripada kajian lapangan tersebut. Bahagian ini juga akan diterangkan dengan lebih terperinci di bahagian prosedur penganalisisan data.
3.4 Prosedur Pengambilan Data
            Prosedur pengambilan data ini memainkan peranan yang penting dalam menentukan dapatan kajian ini. Penyelidik bersedia dengan teliti tentang data yang dikehendaki supaya tidak perlu mengulangi proses pengambilan data ini. Penyelidik membina instrumen kajian seperti soalan-soalan kepada responden bagi mendapatkan maklumat yang lengkap dan sempurna. Instrumen ini dirangka berdasarkan oleh bahan-bahan rujukan yang dipilih oleh penyelidik sesuai dengan tajuk kajian. Penyelidik memilih untuk menemu bual responden, membuat pemerhatian lokasi dan persekitaran sekolah serta analisis dokumen yang diberikan oleh pihak sekolah bagi mengumpul data kajian.
3.4.1 Temu Bual Responden
Instrumen kajian yang menggunakan kaedah temu bual ini akan membantu penyelidik mendapatkan maklumat yang mempunyai kesahihan yang tinggi dan terus daripada responden. Dalam kajian ini, penyelidik menemu bual guru-guru pendidikan khas di sekolah A tentang soalan-soalan yang berkaitan dengan tajuk kajian. Penyelidik mencatat segala maklumat yang diperoleh hasil daripada temu bual tersebut. Instrumen soalan-soalan temu bual ini akan dibincangkan dalam bahagian dapatan kajian.
3.4.2 Pemerhatian
Penyelidik membuat pemerhatian ringkas terhadap pengurusan murid pendidikan khas semasa menjalankan lapangan kajian di sekolah A. Penyelidik memberi tumpuan kepada keadaan persekitaran sekolah, bilik darjah dan keperluan yang disediakan oleh pihak sekolah untuk pelajar pendidikan khas. Pemerhatian ini serba sedikit dapat membantu penyelidik menjawab beberapa persoalan kajian yang berkaitan bilik darjah dan sebagainya.
3.4.3 Analisis Dokumen
Dalam bahagian ini, penyelidik menggunakan dokumen yang diberikan olah pihak sekolah A untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang berkaitan dan lebih bersifat kuantitatif. Contohnya, pihak sekolah memberikan risalah sekolah yang mempunyai maklumat tentang bilangan pelajar pendidikan khas, bilangan kelas dan sebagainya.
3.5 Prosedur Penganalisisan Data
Proses penganalisisan data ini dilaksanakan setelah semua maklumat atau data dikumpul secukupnya. Penyelidik bekerjasama menganalisis segala maklumat yang diperoleh daripada kajian lapangan ini tidak kira hasil daripada temu bual, pemerhatian mahupun analisis dokumen. Penyelidik juga menyusun segala maklumat dan membuat kesimpulan bagi menjawab segala persoalan dalam kajian ini.
            Kesimpulannya, metodologi kajian memainkan peranan yang penting dalam sesebuah kajian. Penyelidik harus memberi tumpuan dalam menentukan metodologi sesuai yang akan digunakan dalam melaksanakan sesebuah kajian. Metodologi kajian ini ditentukan dengan baik oleh penyelidik dalam melengkapkan tugasan kajian ini.




Comments

Popular posts from this blog

MAKLUMAT DIRI

Assalammualaikum,  Nur Razan Faiqah binti Zahili  Program Ijazah Sarjana Muda (Pendidikan) Fizik dengan Kepujian Kuala Kangsar, Perak. " The secret for getting ahead is getting started"